APA ITU GAMIFIKASI?
Istilah gamifikasi dipinjam dari bahasa Inggeris iaitu gamification.Menurut Deterding, Sebastian, et al(2011), gamifikasi ditakrifkan sebagai penggunaan permainan yang mempunyai unsur-unsur reka bentuk dalam konteks bukan permainan.Dalam konteks pendidikan,pendekatan gamifikasi merujuk kepada penggunaan elemen yang dapat merangsang dan memberikan motivasi kepada pengamalnya agar pengajaran dapat di integrasi dalam bentuk permainan (Hussain, Tan &Idris, 2014). Menurut Dewan Bahasa& Pustaka (2004), gamifikasi bermaksud proses menjadikan sesuatu aktiviti yang asalnya bukan permainan sebagai aktiviti bermain. Gamifikasi menyentuh kehendak dan keperluan asas naluri murid berkisarkan kepada status dan pencapaian, sama seperti permainan. Matlamatnya adalah untuk memaksimumkan keseronokan dan penglibatan dalam proses PdP dengan menarik minat murid dan memberi inspirasi kepada mereka untuk terus belajar. Gamifikasi dalam PdP secara umumnya boleh difahamkan sebagai proses mengadun isi pembelajaran dengan aktiviti berbentuk permainan.Gamifikasi yang baik mempunyai ciri-ciri berikut: JELAS. Objektif dan aktiviti permainan mendekatkan murid kepada pencapaian objektif pembelajaran. MEMPUNYAI UNSUR-UNSUR BERSAING SECARA SIHAT. Menggabungkan antara unsur mengawal pembolehubah dengan unsur nasib baik,iaitu pertama sebagai menguji kefahaman pembelajaran murid, dan kedua sebagai unsur kejutan serta seni permainan. MELIBATKAN BAHAN MAUJUD YANG MUDAH ATAU SEDERHANA SUKAR UNTUK DISEDIAKAN. Menggunakan bahan yang mudah dicari untuk replikasi dan boleh digunakan berulangkali. MENYELITKAN PEMBELAJARAN ISTILAH ATAU KONSEP SEWAKTU MURID BERMAIN. Dengan cara ini, murid tidak akan terlalu terbeban untuk mempelajari kehendak-kehendak prasyarat sesuatu topik sewaktu pembelajaran formal yang menyusul. GAMIFIKASI DALAM BILIK DARJAH. Terdapat pelbagai cara untuk menerapkan elemen gamifikasi dalam proses PdP dalam bilik darjah.Untuk artikel ini elemen gamifikasi yang dibincangkan adalah yang boleh diterapkan dalam bilik darjah melalui penggunaan aplikasi atas talian. Terdapat pelbagai jenis aplikasi gamifikasi pembelajaran di laman sesawang yang memenuhi cita rasa, minat,keperluan serta tahap cabaran dan hampir kesemuanya boleh digunakan secara percuma.Guru hanya perlu mendaftar untuk mewujudkan akaun bagi menggunakan aplikasi tersebut.Antara contoh aplikasi yang boleh digunakan bagi melaksanakan konsep gamifikasi dalam PdP malah makin popular pada hari ini adalah seperti Kahoot!, Quizizz, Socrative,Play Brighter, Cram dan banyak lagi. Masing-masing ada kelebihan tertentu dan tersendiri.Aplikasi-aplikasi web ini boleh beroperasi dengan kepelbagaian perkakasan atau peranti multimedia dan memiliki ciri interaksi mesra pengguna yang menarik serta mudah difahami. Susun atur antara muka serta persembahannya pula ringkas dan mampu menarik perhatian.
0 Comments
Leave a Reply. |
NorShahila IShakWELCOME TO KategoriArchives
January 2020
CategoriesMy friends Blog
|